Isu ketandusan idea ketika menulis tesis amat kerap melanda pelajar pascasiswazah. Apabila hal ini berlaku, mulalah terasa ingin menangguhkan penulisan. Memang benar, proses menulis tesis itu menuntut komitmen yang bukan sedikit. Namun percayalah ia boleh disudahkan, asalkan kita terus belajar dan berusaha. Pokok pangkalnya ialah konsistensi, iaitu terus dan terus buat sampai siap. Persoalannya, bagaimana untuk konsisten? Caranya adalah dengan mengekalkan momentum. Jadi, bagaimana untuk mengekalkan momentum tersebut?

Mindset yang Betul
Setkan dalam minda, tiada apa-apa yang mudah di dunia ini. Dalam semua perkara yang kita buat, pasti ada halangan dan cabarannya. Apatah lagi dalam penulisan tesis, iaitu aktiviti yang hanya dilakukan oleh golongan yang terpilih, iaitu golongan pascasiswazah. Oleh sebab itu, mindset yang betul tentang penulisan tesis perlu diletakkan. Prosesnya memang bukan mudah, namun bukan juga mustahil untuk disudahkan. Selain itu, kita perlu ada BIG WHY, iaitu sebab yang kuat yang akan mendorong kita untuk menyudahkan apa yang sudah dimulakan. Barulah kita tidak akan rasa cepat putus asa dan kita akan terus mengorak langkah menyiapkan penulisan tesis kita.

Sedikit tapi Konsisten
Apabila anda ingin menulis tesis, setkan penulisan anda dalam masa 20 minit sahaja. Kemudian, rehat seketika dalam 5 minit, kemudian sambung semula dalam 20 minit. Pastikan sasaran anda jelas, contohnya berapa bilangan perkataan atau ayat anda ingin siapkan dalam masa tersebut. Walaupun sekejap atau hasil penulisan kurang bagus, tidak mengapa. Yang penting ialah anda konsisten. Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Teruskan langkah ini kerana ia akan perlahan-lahan membawa hasil penulisan yang berkualiti.

Persekitaran yang Kondusif
Persekitaran yang kondusif sangat membantu bagi mendapatkan idea metika menulis tesis. Cari keadaan sekeliling yang anda rasa tenang atau selesa untuk  mendapatkan fokus dan idea. Antara tempat yang sesuai adalah seperti di perpustakaan, di pejabat khas untuk menulis tesis, dan boleh jadi juga di tepi pantai mahupun ditemani aliran air sungai yang mendamaikan serta mempunyai pemandangan yang cantik sambil ditemani secawan kopi atau di mana-mana sahaja tempat yang anda rasa tenang. Jika keadaan di rumah boleh menyebabkan fokus anda terganggu, carilah tempat lain.

Tiada rahsia pun untuk seseorang itu dapat menghasilkan penulisan tesis yang terbaik. Kekalkan konsistensi dan jadikanlah penulisan itu sebagai aktiviti rutin harian. Jangan lupa juga untuk sentiasa membaca kerana dengan membaca akan wujudnya idea yang baharu. Yang penting ialah terus dan terus berusaha sampai siap.

Untuk lebih banyak tip pascasiswazah, ikuti Telegram Tulis Tesis kami di t.me/tulistesis.