Perjalanan menyudahkan PhD memerlukan kemandirian pelajar dan pembelajaran berterusan untuk menghasilkan karya yang berkualiti dan asli. Pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan boleh menyebabkan tekanan kepada mental dan fizikal pelajar. Tidak semua calon PhD berjaya melalui rintangan ini. Yang membezakan antara pelajar cemerlang dengan pelajar biasa ialah rutin yang membantu mereka untuk menghadapi semua rintangan dan mengubah tekanan kepada perkara yang lebih positif. Apakah rutin tersebut?
.
.
MEMBACA
.
Jangan sesekali meninggalkan rutin ini. Membaca ialah kewajipan bagi pelajar PhD untuk meluaskan pengetahuan mereka dan penting bagi mereka untuk memperbanyak bahan bacaan. Melalui pembacaan yang berterusan, pelajar akan sentiasa terkedepan dengan maklumat yang baharu dan terkini.
.
Tambahan pula, melalui pembacaan artikel, jurnal dan kajian lepas, ia akan menjadi sumber kepada bahan penulisan ilmiah oleh pelajar. Penguasaan terhadap bahan penulisan akan memudahkan pelajar untuk menulis dengan lancar. Oleh itu, walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, pelajar harus sentiasa meluangkan masa untuk membaca.
.
.
MENULIS
.
Sebagai pelajar PhD, menulis bukanlah satu perkara yang asing buat mereka. Menulis ialah seni dan bakat yang perlu sentiasa diasah supaya penulisan yang dihasilkan menjadi satu karya yang berkualiti. Pengolahan ayat yang mudah difahami amat penting buat pembaca. Penulisan akademik memerlukan fokus dan pengetahuan yang tinggi untuk menghasilkan karya yang tinggi kualitinya.
.
Oleh itu, sudah semestinya menulis secara berterusan memainkan peranan yang besar kepada pelajar PhD bagi melancarkan penulisan tesis. Membiasakan diri untuk menulis akan meningkatkan kemahiran penulisan pelajar dan akan mampu menyelesaikan tugasan penulisan dengan lebih pantas.
.
.
PENJAGAAN DIRI
.
Sebagai pelajar PhD, penjagaan diri terutamanya melibatkan kesihatan diri adalah amat penting. Hal ini kerana aktiviti dan perancangan yang dilakukan untuk melaksanakan penyelidikan memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang bukan sedikit. Tanpa penjagaan diri yang rapi, pelajar tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jayanya. Kesihatan diri dan penjagaan mental yang lemah akan mengganggu fokus mereka lalu mengakibatkan penyelidikan mereka tertangguh. Pelajar harus memastikan mereka mendapat tidur yang mencukupi untuk merehatkan minda mereka.
.
Seterusnya, makanan yang berkhasiat diperlukan untuk minda yang cerdas. Tidak kurang pentingnya juga ialah aktiviti riadah untuk mengurangkan stres. Kombinasi tiga penjagaan diri ini merupakan teknik terbaik untuk kesihatan mental dan fizikal pelajar PhD dan seharusnya menjadi aktiviti rutin.
.
“Rutin cemerlang untuk kejayaan gemilang”
.
Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik tentang dunia pascasiswazah.