Kepantasan adalah relatif. Pelajar pascasiswazah yang mampu menulis satu perenggan sehari mungkin dianggap perlahan apabila dibandingkan dengan penulis buku yang mampu menulis enam muka surat sehari. Namun, anda masih dianggap penulis yang pantas jika berada di sebelah rakan kita yang melayan Tik Tok sepanjang hari.
.
Menulis ialah sebahagian besar dalam perjalanan untuk mencapai puncak tertinggi piramid pendidikan. Tanpa kemahiran menulis yang secukupnya, perjalanan itu pasti akan mengambil masa yang lebih lama. Sebagai pelajar pascasiwazah, anda sedar dan tahu bahawa menulis dengan pantas itu amat penting bagi mengejar tarikh akhir. Namun begitu, pelajar masih tidak mengetahui punca mengapa kepantasan ini sukar diperoleh. Mengapa hal ini boleh berlaku?
.
.
PENGUASAAN BAHAN PENULISAN
.
Sebelum menulis, menjadi kewajipan pelajar untuk mengumpul bahan penulisan melalui pembacaan daripada buku, jurnal, dan kajian lepas. Namun begitu, penulisan akan sering terbantut disebabkan oleh kekurangan penguasaan terhadap bahan yang diperoleh. Kekurangan penguasaan terhadap bahan inilah yang menjadi punca pelajar menghabiskan masa yang lama untuk menulis perkataan demi perkataan.
.
Hal ini dapat dielakkan dengan melalui persediaan yang rapi sebelum mula menulis. Persediaan rapi yang dimaksudkan adalah dengan mengumpul bahan penulisan secukupnya dan menyusun atur segala maklumat yang dikumpul untuk memudahkan anda mengakses maklumat pada masa akan datang. Pembacaan berulang kali dan catatan isi penting juga merupakan antara teknik-teknik yang boleh diaplikasikan oleh pelajar dalam menguasai bahan penulisan secara menyeluruh. Secara tidak langsung usaha ini dapat melancarkan penulisan anda.
.
.
PENGURUSAN MASA
.
Punca seterusnya yang mengakibatkan pelajar PhD lambat dalam penulisan tesis ialah pengurusan masa yang tidak baik. Hal yang nampak seperti perkara kecil ini boleh mempengaruhi perjalanan penulisan anda. Tanpa pengawasan masa yang teratur dan rapi, pelajar PhD juga mempunyai kebarangkalian untuk terlebih menggunakan masa mereka untuk sesuatu perkara. Sebagai contoh, pelajar menghabiskan masa dengan menyemak dan membaiki sesuatu perenggan berulang-ulang kali kerana mengharapkan penulisan itu akan terus sempurna. Sebaliknya, pelajar boleh beralih ke bahagian seterusnya untuk mempercepat proses penulisan dan membuat semakan di akhir masa yang ditetapkan. Pelajar juga boleh mengunakan teknik Pomodoro untuk menggunakan masa dengan berkesan dalam menyelesaikan penulisan.
.
.
FOKUS
.
Mudah untuk dicapai tetapi sukar untuk mengekalkannya. Sebagai pelajar, anda sendiri tahu fokus sangat diperlukan ketika menyudahkan penulisan ilmiah. Namun begitu, daya fokus anda akan mudah terganggu dengan wujudnya tabiat buruk seperti sering melihat telefon ketika menulis. Memang benar telefon ialah keperluan pada masa ini, tetapi bukan menjadi satu kewajipan untuk menyemak telefon sepanjang masa. Apabila pelajar hilang daya fokus, produktiviti menulis akan terus terganggu, lalu menyebabkan durasi menulis anda terpaksa disingkatkan kerana melakukan perkara yang lain.
.
Oleh itu, untuk mengekalkan daya fokus, anda perlu mewujudkan ruang bekerja yang kondusif dan jauh daripada sebarang gangguan luaran supaya anda boleh fokus kepada satu aktiviti sahaja iaitu menulis.
.
Jika kepantasan adalah relatif, ia juga tidak relevan selagi pelajar pascasiswazah tidak mula bergerak ke arah matlamat akhir.

Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik tentang dunia pascasiswazah.