Memulakan perjalanan PhD merupakan satu proses yang sangat menakutkan bagi pelajar pascasiswazah terutamanya ketika tahun pertama. Pengalaman semasa sarjana atau sarjana muda agak berbeza berbanding dengan pengajian tertinggi iaitu PhD. Pelajar PhD harus lebih berdikari kerana mereka mungkin akan kurang mendapat bimbingan. Kejutan terhadap cabaran baru boleh menyebabkan pelajar gagal mendepaninya dengan baik. Oleh itu, berikut tip yang boleh diamalkan untuk membolehkan pelajar PhD mendominasi tahun pertama pengajian.
.
.
MENGURUSKAN MAKLUMAT
.
Langkah utama sebagai seorang pelajar PhD ialah memastikan segala maklumat berkenaan kajian yang bakal dijalankan berada dalam keadaan yang teratur. Hal ini amat penting kerana segala maklumat yang diperoleh akan diguna pakai semula dalam penulisan tesis. Bagi mengelakkan keciciran maklumat yang boleh menjadi sokongan terhadap kajian anda, pastikan anda sudah ada kaedah penyusunan yang sistematik dengan penggunaan sistem penandaan bagi mengkategorikan setiap artikel yang sudah ditelaah. Selain itu, setiap maklumat yang penting juga harus ditandakan dengan pen warna untuk rujukan kemudian. Teknik ini akan menjadi lebih mudah dengan bantuan teknologi pada masa ini seperti penggunaan software Adobe Acrobat Reader dan Powerpoint. Tambahan lagi, pelajar boleh menambah nota kecil pada setiap poin yang penting tersebut.
.
.
RUTIN
.
“Alah bisa tegal biasa.” Pepatah ini perlu dijadikan motivasi buat para pelajar PhD. Segala teknik, tip atau nasihat tidak akan berguna sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik dengan konsistensi yang tinggi. Dengan wewujudkan rutin belajar, ia boleh memastikan para pelajar sentiasa konsisten dan peka terhadap penyelidikan yang dilakukan. Selain itu, rutin ini juga amat penting dalam mempengaruhi masa yang perlu diambil dalam menjalankan penyelidikan. Pembentukan rutin daripada awal akan mendisiplinkan para pelajar untuk lebih menumpukan tenaga kepada penyelidikan daripada segi penulisan, mendapatkan maklumat dan melakukan kajian. Rutin bukanlah sekadar suatu perancangan, akan tetapi pengamalan yang berterusan.
.
.
BERSEDIA UNTUK GAGAL
.
Melakukan penyelidikan bukan suatu perkara yang mudah. Penyelidik perlu mengkaji sesuatu yang baru untuk membuat penemuan yang signifikan. Namun begitu, sebelum mencapai kejayaan tersebut, kegagalan ialah sesuatu perkara normal yang perlu dihadapi oleh semua pelajar PhD. Menempuhi kegagalan ini bukanlah perkara yang buruk, tetapi sebenarnya ia merupakan satu langkah permulaan untuk pelajar PhD mencapai matlamat mereka. Mereka yang sudah bersedia untuk gagal dapat mengelakkan perasaan berputus asa dan akan terus bersemangat untuk mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut. Bak kata pujangga, setiap kegagalan merupakan satu pengajaran. Sekiranya anda belum bersedia untuk gagal, ia bermakna anda belum bersedia untuk berjaya.
.
.
“Permulaan yang cemerlang, pengakhiran yang gemilang”

Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik.