Masuk tahun 2022, harimau menjadi sebutan masyarakat setempat. Populariti ini disebabkan tahun ini merupakan tahun harimau bagi masyarakat berbangsa Cina. Raja Rimba ini ialah binatang yang sangat unik pada mata dunia dan mempunyai ciri-ciri yang sangat menarik. Sebagai pelajar pascasiswazah, kita mungkin boleh mengambil inspirasi daripada ciri-ciri yang ada pada haiwan ini.
.
KEYAKINAN
.
Seperti seekor harimau, kita perlu yakin dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan. Keyakinan sangat kritikal dalam menyambung PhD, contohnya ketika membuat keputusan penyelidikan, memberikan pandangan dan mempertahankan kajian. Tindakan tanpa keyakinan boleh mempengaruhi kualiti keputusan yang diambil dan hasil tindakan yang dilakukan. Bayangkan seekor harimau memburu tanpa keyakinan; pasti akan mengurangkan kebarangkalian untuk ia mendapatkan makanan.
.
Kekurangan keyakinan diri merupakan masalah umum bagi sesetengah pelajar pascasiswazah. Kita tidak boleh lari daripada ditegur oleh penyelia dan mendapat komen pedas daripada penyemak tesis dan artikel yang kita tulis. Semua ini boleh menurunkan keyakinan diri. Namun, segala rintangan yang dihadapi haruslah dijadikan motivasi untuk membina keyakinan diri, dan bukannya sebagai alasan untuk tidak terus berusaha.
.
KEAZAMAN
.
Pernahkah kita terfikir bagaimana Raja Rimba terus hidup walaupun hidup mereka sentiasa terancam disebabkan kemusnahan habitat dan aktiviti pemburuan haram? Hal ini adalah disebabkan oleh keazaman untuk terus hidup yang sangat tinggi. Kita sebagai pelajar boleh mencontohi sifat ini dalam meneruskan perjuangan menyambung PhD.
.
Keazaman merupakan sifat yang sukar diperoleh, tetapi ia mudah dibentuk dengan menetapkan matlamat yang jelas dan melakukan perancangan yang rapi. Tanpa keazaman yang tinggi, ia boleh menyebabkan pelajar kecundang di pertengahan jalan. Apabila menjejakkan kaki ke dalam dunia penyelidikan, pelajar pascasiswazah harus mempunyai keazaman diri yang utuh untuk terus berjaya.
.
UNIK
.
Seperti yang kita tahu, harimau merupakan haiwan yang sangat unik. Belang kuning dan hitam serta taringnya yang tajam membolehkannya berada dalam kelasnya yang tersendiri. Seperti harimau, kita sebagai individu juga mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dibanggakan. Keunikan kita adalah dari segi penulisan dan kajian yang dijalankan.
.
Setiap hasil penyelidikan mempunyai keunikan yang tidak boleh ditiru sewenang-wenangnya. Dengan itu, pelajar pascasiswazah harus menunjukkan keunikan dan kreativiti dalam melakukan penyelidikan. Tidak kisah kecil atau besar sesebuah penyelidikan, kita harus berbangga dengan hasil kajian kerana itu adalah hasil titik peluh kita sendiri.
.
“Bukan pembalakan yang meningkatkan kuantiti harimau tetapi kajian dan kesedaran manusia itu sendiri.”
.
.
Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik
Leave A Comment