Pernahkah anda terfikir bagaimana air mineral yang mempunyai sama kualiti dan jenama boleh berbeza harga? Apakah faktor yang menyebabkan perbezaan harga itu berlaku?

Selain faktor ekonomi dan pengiraan margin yang rigid, terdapat satu faktor mudah yang boleh menjadi pemboleh ubah untuk perbezaan harga tersebut. Faktor tersebut ialah nilai yang diberikan. Contohnya, di kedai runcit biasa, harga sebotol air mineral berharga hanya RM1.50. Namun, sebotol air mineral yang sama boleh berubah harga apabila ia dijual di hotel atau restoran yang mewah, malah harganya boleh meningkat berkali ganda apabila dijual di lapangan terbang atau di luar negara.

Daripada analogi di atas, kita boleh lihat, sesebuah nilai mempunyai pengaruh yang besar terhadap sesuatu perkara. Hal ini termasuklah dalam konteks dunia pascasiswazah dan penyelidikan yang mempunyai nilai-nilai tertentu untuk menjadikannya itu lebih berkualiti. Pelajar pascasiswazah harus mempunyai keazaman, minat dan konsistensi yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Sebagai pelajar pascasiswazah, pasti banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi untuk mencapai impian mereka. Perjalanan yang penuh pancaroba sudah semestinya memerlukan mereka untuk bersedia dengan segala cabaran yang memberikan perasaan dan tekanan yang tidak mudah untuk diungkap.

Oleh itu, seandainya kita berasa seperti kita menemui jalan buntu ketika melakukan penyelidikan, teruskanlah berusaha dan jangan mudah untuk berputus asa. Gunakan segala peluang, sumber dan nasihat daripada penyelia serta rakan-rakan sepengajian yang lain untuk menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi. Setiap usaha tidak kira kecil atau besar untuk menyelesaikan penyelidikan tersebut tetap mempunyai nilai yang tinggi dalam penyelidikan berkenaan. Jangan takut meminta bantuan jika anda memerlukan.

Ingatlah, tidak kira sebesar mana atau sekecil mana pun hasil penyelidikan tersebut, ia tetap akan memberikan impak yang besar terhadap dunia akademik dan generasi masa akan datang. Janganlah khuatir atau gundah. Seperti botol minuman air mineral juga, walaupun ia berharga RM1.50 sahaja, ia masih boleh melegakan dahaga mereka yang kehausan.

Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik.