Keupayaan untuk mendalami dan meluahkan emosi adalah amat penting dalam kehidupan kita. Emosi merupakan tindak balas yang dirasai terhadap situasi tertentu. Perjalanan menyambung PhD merupakan lembah “emotional roller coaster” bagi pelajar pascasiswazah. Turun naik sesebuah emosi mereka bukan disebabkan daripada penyelidikan sahaja, tetapi ia juga disebabkan oleh hubungan sosial dan cabaran yang terus datang bertubi-tubi.
.
Sebagai seorang pelajar pascasiswazah, kestabilan emosi merupakan kunci utama dalam membuat keputusan, interaksi dengan orang lain dan dalam penjagaan diri sendiri. Berikut merupakan tip yang boleh digunakan untuk penjagaan emosi.
.
MENGENAL PASTI EMOSI
.
Mengenal pasti emosi adalah satu tindakan pertama untuk mengawal emosi yang sedang bergelumang. Dalam kesibukan menyambung PhD pelajar harus mengambil masa untuk mengenal pasti perasaan diri sendiri. Sebelum melakukan sebarang tugasan, selami perasaan sendiri. Adakah kita sedih? Murung? Stres? Hal ini kerana emosi yang tidak stabil akan mengganggu proses penyelidikan.
.
MENCARI RUANG
.
Dalam menghadapi ketegangan emosi, pelajar pascasiswazah harus mencari ruang untuk bernafas. Walaupun sibuk dengan penyelidikan, mereka harus mencuri masa untuk diri sendiri seperti bersosial bersama rakan, bersenam, dan apa-apa aktiviti yang boleh mengalihkan perhatian daripada tekanan penyelidikan. Memang benar sesebuah penyelidikan itu penting, tetapi kita tidak boleh mengabaikan kesihatan mental untuk mencapai sesuatu perkara. Jadi, cari ruang untuk diri kerana kadang-kadang kita perlu ambil satu langkah ke belakang untuk mengorak 10 langkah ke hadapan.
.
MELUAHKAN PERASAAN
.
Memendam perasaan bukanlah perkara yang baik dilakukan pada diri sendiri. Sifat ini boleh menyebabkan pelajar akan lebih stres sehingga hilang pertimbangan dalam membuat keputusan. Oleh itu, pelajar seharusnya meluahkan perasaan mereka kepada orang yang mereka percaya. Tidak kira kepada ahli keluarga mahupun sahabat karib, mereka boleh dijadikan sebagai pendengar masalah yang terbaik. Kebiasaannya, ketegangan perasaan akan kendur selepas diluahkan. Namun, sekiranya perasaan stres itu masih membelenggu diri, perkhidmatan pakar mungkin diperlukan pada peringkat ini. Perkhidmatan pakar kaunseling dapat membantu menjadi pendengar yang dipercayai dan memberikan langkah-langkah mengawal emosi mereka. Jangan sesekali takut mencari bantuan dalam mengendali emosi anda kerana pelajar yang berjaya bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi dari segi sahsiah dan spiritual diri juga.
Ikuti lebih banyak konten pascasiswazah di Telegram Tulis Tesis kami t.me/tulistesis sekarang!
Leave A Comment