Perjalanan mendapatkan PhD ialah satu pengembaraan yang sangat menarik namun mencabar. Pengembaraan yang berliku-liku itu akan menjadi lebih mencabar sekiranya mereka tidak mahu merawat beberapa penyakit yang mampu memberikan kesan buruk terhadap perjalanan pengajian mereka. Apakah penyakit-penyakit tersebut?
.
MALU BERTANYA
.
Penyelia memainkan peranan yang sangat besar dalam membimbing pelajar PhD. Namun, pelajar itu sendiri tidak menggunakan peluang dan ruang yang wujud untuk bertanyakan soalan. Bak kata pepatah, “malu bertanya, sesat jalan”. Pepatah ini sangat bersesuaian untuk pelajar PhD. Setiap penyelidikan sudah pasti mempunyai banyak persoalan yang perlu dijawab bagi menjalankan pengajian berjaya. Oleh itu, sifat rajin bertanya dan bimbingan daripada penyelia adalah sangat penting bagi memastikan mereka sentiasa berada pada landasan yang betul sepanjang melaksanakan pengajian mereka.
.
SUKA BERTANGGUH
.
“Hari ini dikatakan nanti, hari esok menjerut diri”. Ramai dalam kalangan kita merasakan penyakit bertangguh ini merupakan perkara biasa dalam kehidupan kita. Namun, penyakit ini sebenarnya mampu menjadi barah yang berisiko tinggi terutamanya pelajar PhD yang mengejar tarikh akhir bagi penyelidikan mereka. Sifat buruk ini bukan sahaja boleh melambatkan perjalanan PhD, malah ia juga boleh merencat penghasilan penulisan atau penyelidikan yang bermutu tinggi. Oleh itu, sifat ini perlu dibuang jauh-jauh daripada pelajar PhD yang ingin menggenggam kejayaan di pentas konvokesyen.
.
TIADA PERANCANGAN RAPI
.
Sesebuah penyelidikan sudah tentu mengambil masa yang sangat panjang. Bagi, mengelakkan penyelidikan tersebut merenggut masa yang lebih lama, perancangan yang rapi amatlah membantu menyingkatkan masa tersebut. Perancangan rapi juga dapat membantu pelajar PhD membuat pemeriksaan dan perbandingan bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Hasilnya, perancangan ini dapat mengurangkan pengulangan sesuatu kesalahan, malah projek yang dihasilkan juga akan lebih teratur.
“Tiada ubat yang boleh merawat PENYAKIT ini melainkan diri kita sendiri”
Ikuti Telegram Tulis Tesis di t.me/tulistesis untuk lebih banyak tip menarik.
Leave A Comment