Pada tahun 2016, saya memohon untuk membuat ‘Master of Science’ (MSc) dalam bidang sains sukan kerana minat saya untuk membuat kajian altitud tinggi. Ini ekoran pengalaman saya menjadi doktor ekspedisi untuk pendaki Everest Malaysia di Nepal dan Tibet pada masa lalu.
.
Saya memilih Universiti Teknologi MARA (UiTM), kerana sebelum ini saya terlibat dengan pensyarah-pensyarah UiTM yang terlibat dalam pendakian gunung Everest dan ia mempunyai Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang baik.
.
Sebenarnya, siapa sahaja rakyat Malaysia dari semua kaum, malahan dari negara antarabangsa boleh menjadi pelajar UiTM pada peringkat lepas ijazah. Ia terbuka kepada semua dengan kadar yuran yang sangat kompetitif.
.
Maka, dengan bayaran yuran permohonan RM100, saya membuat permohonan melalui Institut Pengajian Siswazah UiTM (Ipsis). Setelah itu, saya dipanggil untuk ditemuduga. Sayapun hadir ke sesi temuduga dan selesai membuat pembentangan idea kajian saya, penemuduga memberikan komen yang tidak saya jangka.
.
“We think you should do PhD. You already have three master degrees.”
.
Saya terdiam sekejap mendengar kata-kata penemuduga. Ini kerana saya tidak mempunyai cuti penuh untuk membuat PhD dan bagi saya, program sarjana nampak lebih ‘ringan’ dan lebih memungkinkan untuk saya habiskan sambil bekerja sepenuh masa.
.
“You just need to email me and the rest we shall process,” ungkap salah seorang penemuduga.
.
Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan apabila kemudiannya menjawab email dengan ‘bersetuju’. Ia umpama ‘hentam sajalah’ tanpa mengambilkira situasi kerja saya. Ekoran itu, nama saya didaftarkan sebagai pelajar ‘sepenuh masa’ pada 3 September 2016 sedangkan hakikatnya saya bekerja sepenuh masa.
.
Ketika itu, Profesor Madya Dr Rezian-na mendaftarkan saya dan terus berpesan, “If you can write 350 words a day everyday, you can finish your thesis. Make sure you contribute knowledge for the benefit of mankind.” Saya terharu kerana dia selepas itu tidak jemu memberikan galakan kepada saya.
.
Sebenarnya, pada masa yang sama saya memulakan pengajian PhD ini, saya juga mendaftar dalam dua program profesional klinikal perubatan iaitu Fellowship of Emergency and Critical Care Ultrasound di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Fellowship of Emergency Critical Care di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
.
Saya sedar yang menjadi pelajar untk tiga program berat yang berbeza pada masa yang sama ini agak ‘gila’ namun saya mahu membuat suatu perkara yang sedikit ‘menakutkan’ pada usia saya untuk keluar dari zon selesa.
.
Satu lagi sebab lain saya memulakan pengajian ini adalah kerana saya mempunyai niat membelanjakan semua wang elaun dari tugas ‘on call’ saya semasa menjadi doktor peribadi kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14, Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, untuk ‘mempelajari sesuatu’.
.
Almarhum juga pernah menjadi Canselor UiTM dan saya biasa mengiringi Tuanku pada acara konvokesyen atau majlis rasmi di UiTM. 
.
Meneruskan Pengajian
.
Pada mulanya saya hanya mahu tahu apa rasanya menjadi pelajar PhD dan rancangan saya, sekiranya terlalu sukar, saya akan berhenti secara senyap-senyap tanpa diketahui sesiapa.
.
Saya juga tidak memberitahu sesiapa, kecuali kepada Ketua Jabatan di tempat kerja saya. Peluang untuk saya gagal amat tinggi. Tetapi ‘rahsia’ saya ini tidak lagi menjadi rahsia apabila saya memenangi pertandingan 3-minutes Thesis peringkat universiti dan seterusnya tempat kedua di peringkat nasional.
.
Pihak universiti meletakkan gambar dan nama saya dalam laman web sebagai pemenang menyebabkan semua orang tahu yang saya adalah pelajar PhD UiTM.
.
Ia jelas tidak lagi menjadi rahsia. Kalau saya berhenti dari pengajian, semua orang akan tahu. Maka saya tiada pilihan dan terpaksa meneruskan pengajian ini.
.
Saya menjadi salah seorang pelajar PhD yang mewakili Malaysia pada 2018 di peringkat separuh akhir dalam pertandingan ini di Brisbane, Australia tetapi kalah.
.
Seorang lagi pelajar yang menjadi johan nasional pertandingan ini di Malaysia, Dr Yasmin Mustapha dari Universiti Putra Malaysia menang sebagai johan. Saya kagum dengannya dan walaupun gagal mendapat tempat utama, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba.
.
Malah selepas dari itu, saya menjadi ‘jurulatih’ kepada peserta pertandingan ini dari kalangan pelajar UiTM dan dua dari mereka mendapat tempat utama pada peringkat kebangsaan.
.
Cabaran Pengajian PhD
.
Banyak cabaran yang datang semasa menjadi pelajar PhD. Saya percaya setiap pelajar PhD ada cabaran sendiri dan ianya dalam pelbagai bentuk. Sebagai pelajar yang bekerja sepenuh masa tetapi membuat Phd juga ‘sepenuh masa’ ianya adalah laluan yang bergelora kepada saya.
.
Cabaran kepada saya termasuklah mendapatkan kebenaran menggunakan fasiliti kebuk hipobarik (hypobaric chamber) yang bernilai jutaan ringgit. Saya berutus surat dan berjumpa sendiri dengan pengarah Institut Perubatan Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Saya amat bertuah kerana Pengarahnya, Brigadier Jeneral Dato’ Dr Zahari menyokong kuat inisiatif ini. Begitu juga pakar ‘Aviation Medicine’, Kolonel Dr Mazdy Ismail. Tanpa sokongan mereka, projek ini pasti gagal.
.
Akhirnya saya mendapat kebenaran dan sokongan dari Panglima TUDM. Kebetulan pula terdapat fasiliti yang baru dibina di Subang.
.
Saya juga perlu meminjam alatan seperti ultrasound yang bernilai RM200,000. Lega rasanya apabila Encik Loke Chee Leong dari GE Ultrasound berusaha keras untuk memastikan alat ini dapat saya pinjam semasa menjalankan kajian. Dia sangat berhati mulia dan sentiasa tersenyum apabila bantuannya saya minta dan ikhlas berusaha menjayakan penyelidikan saya.
.
Saya juga mencari-cari alat spirometer dan tanpa disangka, seorang pengurus syarikat farmaseutikal, Dato’ Farshila Emran, mendermakan alat ini untuk kegunaan penyelidikan. Alat ini kemudiannya diserahkan kepada pihak UiTM untuk pelajar lain menjalankan penyelidikan.
.
Cabaran Keluarga
.
Saya percaya, seperti pelajar Phd yang lain, ada cabaran keluarga. Pada tahun kedua PhD, tiba-tiba isteri saya mengalami demam tinggi dan tidak bermaya. Mulanya dia dirawat bagi masalah ‘pneumonia’ , yakni mengalami jangkitan paru-paru. Bagaimanapun demamnya berterusan. Setelah dua jenis antibiotik diberi, dia dimasukkan ke wad dan doktor menebuk paru-parunya yang didapati bernanah.
.
Dia didiscaj kemudiannya tetapi demamnya masih berterusan hingga satu bulan lamanya. Setelah itu, CT SCAN dan pengambilan biopsi dibuat dari tisu paru-paru dan akhirnya dia disahkan mengalami jangkitan kuman ‘fungus’ dan doktor pakar membuat keputusan yang dia perlukan pembedahan dan ubat antifungal.
.
Saya teringat, hari dia perlu dimasukkan ke wad bertembung dengan hari terakhir saya mengutip data dari kebuk hipobarik.
.
Sebenarnya amat sukar membuat penjadualan semula kerana saya perlu menunggu berbulan-bulan untuk slot selain semuanya sudah diatur untuk sukarelawan yang menjadi subjek kajian saya. Maka saya teruskan juga.
.
Saya menghantar isteri saya ke wad pada awal pagi dan terus ke institut tersebut dan meneruskan pengambilan data dan bila habis petangnya, kembali ke wad. Apabila sampai, isteri saya baru keluar dari tandas dalam keadaan pening.
.
Dia terus pengsan dan tumbang di hadapan saya. Nasib baik saya sempat ‘menangkap’ tubuhnya tepat pada masanya. Jika tidak, dia mungkin cedera apabila badan dan kepalanya menghempas lantai wad.
.
Semasa isteri sakit dan mendapatkan rawatan di wad, saya menguruskan rumah dan menghantar anak saya yang hampir menduduki peperiksaan UPSR ke sekolah setiap hari. Alhamdulillah, isteri saya pulih selepas pembedahan membuang sebahagian tisu paru-paru yang rosak dan dia perlu mengambil ubat yang kosnya kira-kira RM8,000 setiap bulan untuk beberapa bulan.
.
Ketika anak saya menduduki peperiksaan UPSR, saya terpaksa ke Australia bagi mewakili Malaysia bagi pertandingan 3-minutes Thesis. Pertandingan ini berlangsung pada hari ke-3 peperiksaan UPSR. Tetapi saya harus terbang ke sana lebih awal. Setelah berbincang dengan isteri dan anak saya, mereka sepakat mengatakan yang saya harus pergi.
.
Sebagai ganti diri, saya mencetak ‘bunting’ yang terdapat karakter Star Wars dengan kata-kata ‘May the Force Be With You’ dan ‘You can do it! We Believe in You!’ lalu diletakkan di laluan pelajar yang hendak masuk ke dewan peperiksaan.
.
Saya bisikkan kepada anak saya yang walaupun saya tiada, ‘bunting’tersebut menjadi ganti. Nasib baik juga, isteri saya baru pulih dari sakit ketika itu.
.
Menariknya, kata-kata pada ‘bunting’ itu membuatkan anak-anak yang lain tersenyum apabila masuk ke dewan peperiksaan. Alhamdulillah, dia dan rakan-rakan baiknya lulus dengan mendapat 6A. Mungkin Allah kasihankan dia dan isteri saya
.
Guru besar sekolah memberitahu, ‘bunting’ itu terus digunakan setiap peperiksaan UPSR hingga kini untuk memberi semangat kepada pelajar.
.
Cabaran Kesihatan
.
Selain daripada semua ini, saya juga mengalami masalah ‘keratoconus’ sejak berusia 14 tahun. Ia adalah penyakit mata yang mana bentuk mata saya seperti ‘kon’ dan tidak sfera seperti orang yang normal. Ini menyebabkan penglihatan saya kabur kerana terdapat puluhan imej yang bertindan. Masalah ini diatasi dengan menggunakan kanta lekap khas yang dibuat di luar negara.
.
Namun, pada semester ketiga pengajian PhD saya, tiba-tiba mata kiri saya menjadi sakit dan kabur. Saya hanya nampak cahaya dengan mata kiri itu. Saya berjumpa dengan pakar mata yang memberikan diagnosis ‘hydrops’ yakni satu keadaan yang mana cecair dalam mata masuk ke rekahan kornea.
.
Saya diminta untuk tidak menggunakan kanta lekap pada mata kiri kerana ia akan memburukkan keadaan mata saya. ini menimbulkan masalah untuk saya membaca jurnal dan kertas saintifik. Tanpa kanta lekap, saya perlu melihat teks pada jarak 5cm untuk nampak.
.
Walaupun penglihatan saya banyak dibantu oleh mata kanan, ketidakseimbangan pandangan dari kedua-dua mata menyebabkan saya melihat imej yang bertindan dan menyukarkan pembacaan. Ini saya atasi dengan membaca dari laptop kerana saya boleh membesarkan teks di laptop. Saya menggunakan mata kanan sepanjang pengajian PhD saya selepas itu.
.
Cabaran Kerja
.
Oleh kerana saya bekerja penuh, saya mengambil cuti tahunan untuk memungut data dan di mana ada kesempatan saya cuba gunakan untuk menulis tesis. Biasanya berhenti sekejap di kedai mamak untuk ini dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja.
.
Malah saya juga ke Jepun selama 3 bulan bagi melengkapkan keperluan program Fellowship di Osaka. Di sana, pada waktu malam selepas pulang hospital, saya meneruskan kerja-kerja menulis tesis.
.
Semasa di tahun ketiga PhD, tanggungjawab saya juga bertambah kerana dilantik sebagai Ketua Jabatan Kecemasan Pediatrik di Hospital Tunku Azizah. Dalam masa yang sama, saya juga masih membuat semua tugas klinikal dengan kadar yang sama rata dengan pakar-pakar lain di Hospital Kuala Lumpur.
.
Maka saya berkhidmat di dua buah hospital. Ini ditambah pula dengan datangnya pandemik dan saya perlu menggalas tugas ‘frontliner’ kerana itu adalah hakikat hidup sebagai doktor kecemasan.
.
Sebenarnya, saya amat lega kerana menunaikan janji saya kepada Ketua Jabatan yang saya tidak akan mengabaikan semua tanggungjawab kerja hakiki saya sepanjang pengajian saya dan ini telah saya pastikan. Saya sangat tidak suka menyusahkan rakan sekerja dan semua tugas klinikal dan bukan klinikal diselesaikan dan tidak ‘hilang’ dari jadual kerja.
.
Langkah Penenang
.
Walaupun sibuk, saya tetap berusaha mencuba mencapai sasaran berjalan 10,000 tapak sehari. Tidak setiap hari saya berjaya mencapainya. Bagaimanapun sepanjang 4 tahun ini ia melebihi purata 9000 tapak sehari.
.
Semasa berjalan, kerap juga saya berfikir tentang rekabentuk kajian, penyelesaian bagi semua rintangan mengutip data, analisa kajian, penulisan dan sebagainya. Selain bagus untuk kesihatan, ianya mendamaikan.
.
Saya juga suka membuat orang ketawa sebagai cara untuk mengurangkan stres saya. Maka pada hujung syif kerja, saya biasa memberikan jenaka atau teka-teki yang lucu. Ringan beban dan hati saya melihat orang senyum, apatahlagi ketawa.
.
Konferens Saintifik
.
Selain dari usaha tesis ini, saya juga menyertai beberapa konferens antarabangsa dan membentangkan kertas saintifik.
.
Alhamdulillah, empat dari kertas-kertas pembentangan saya memenangi hadiah poster di Malaysia dan di Bali, Indonesia. Saya juga mendapat hadiah emas dalam pertandingan ‘Thesis in 5-minutes’.
.
Selain penyelidikan saya dengan UiTM, saya juga bekerjasama dengan universiti lain seperti pasukan pengkaji dari Universiti Sains Islam Malaysia terutamanya Profesor Madya Dr Norsham Juliana binti Nordin dan suaminya Dr Mohd Azmani Sahar. Saya juga dapat membentangkan hasil kajian di Turki dan kertas ini terpilih sebagai salah satu pembentangan lisan khas.
.
Kolaborasi ini juga berhasil dengan dua penerbitan dalam jurnal antarabangsa. Malah saya juga dapat mengusahakan aplikasi telefon pintar untuk diagnosis penyakit altitud tinggi dengan Nuraizah Shamsul Baharin, konsultan dan pemilik Madcat World.
.
Viva Voce
.
Pada 13 Ogos 2020, saya akhirnya mendepani Viva Voce PhD. Ia berlaku dalam keadaan saya masih perlu bekerja sebagai ‘frontliner’ bagi menangani kes-kes pandemik Covid19 di hospital. Saya mengambil cuti dan mendepani Viva Voce ini secara talian.
.
Alhamdulillah, terasa lega kerana dapat menjawab semua soalan walaupun pada pagi viva saya ada masalah untuk masuk ke talian kerana terdapat kesilapan pada kod webinar.
.
Selesai viva yang memakan masa kira-kira satu setengah jam, saya menerima keputusan yang saya lulus dengan pembetulan minor. Ini tentunya hasil doa isteri dan ibu saya selain sokongan dari anak saya.
.
Sebaik sahaja tamat viva tersebut, saya dapati, ada kira-kira 2 minggu yang berbaki sebelum cukup 4 tahun pengajian PhD saya. Saya terfikir, jika saya dapat menyelesaikan semua pembetulan minor dengan cepat dan sempat masuk ke mesyuarat senat, mungkinkah saya dapat status ‘graduate on time’ (GOT)’ ?
.
Menurut garispanduan Kementerian Pendidikn Tinggi, jika saya dapat kelulusan senat sebelum atau genap 4 tahun dari tarikh saya mendaftar sebagai pelajar PhD, maka saya dapat status ‘GOT’.
.
Saya segera teks Profesor Madya Dr Suhaily Hasnan, Ketua Pengajian Siswazah dari Ipsis dan bertanya bilakah mesyuarat senat kerana, untuk ‘GOT’ kelulusan harus datang dari mesyuarat ini.
.
‘Sorry Dr. Mesyuarat senat hari ini.’
.
Saya faham. Tentulah mesyuarat senat selepas itu akan mengambil masa yang lama kerana ia tidak selalu diadakan. Saya sedar ketika itu, tidak mungkin saya boleh ‘GOT’.
.
‘Takpalah Prof, terima kasih. At least saya dah cuba.’
.
Saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya telah selesai viva. 2 minit kemudian telefon saya berbunyi.
.
“Dr! This is Allah’s will. You know what. Senate meeting has been postponed to 1st September. If you can submit all your corrections before 1st September, then you can GOT.”
.
Maka saya ada peluang. Saya mengucapkan terima kasih. Bagaimanapun saya sedar, saya harus segera menyelesaikan semua pembetulan tesis jika mahu GOT.
.
Saya menukar baju dan memandu keluar ke KLCC untuk menenangkan fikiran. Pada malamnya, saya membuka kembali laptop dan mula membuat kerja-kerja pembetulan.
.
Selepas enam hari, semua pembetulan siap.
.
Tesis saya yang sudah dibetulkan dihantar kepada penyelia untuk disahkan, kemudian kepada Ketua Pusat Pengajian Siswazah (KPPS). Setelah itu, ia dihantar kepada pemeriksa dalaman dan kembali kepada KPPS untuk disahkan.
.
Seterusnya, ia dihantar kepada Ipsis untuk pemeriksaan format sebelum kembali kepada saya untuk pembetulan format. Kemudiannya, ia kembali kepada KPPS untuk pengesahan akhir dan dihantar kembali kepada Ipsis. Selesai semua proses ini, akhirnya barulah nama saya diusulkan kepada senat untuk diluluskan.
.
Saya dapati KPPS di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Profesor Madya Dr Suhana Aiman sangat sabar membantu dan memastikan semua proses yang kompleks ini berjalan lancar. Dia faham yang saya sedang cuba sedaya upaya untuk GOT. Lagi pula, saya dimaklumkan bahawa sebelum ini belum ada calon PhD dari FSSR yang GOT. Tanpa usahanya, laluan saya pasti lebih sukar. Tuhan rahmati dia.
.
Lulus ‘GOT’
.
Alhamdulillah, pada pagi 1 September 2020, mesyuarat senat yang berlangsung mengesahkan yang saya lulus dengan ‘GOT’. Lagi 2 hari (3 September), cukup 4 tahun sejak tarikh saya mendaftar sebagai pelajar.
.
Maka sahlah kini yang saya adalah calon PhD FSSR yang pertama lulus ‘GOT’. Dekan fakulti, Profesor Madya Dr Anizu Mohd Nor amat gembira dan mengucapkan tahniah kepada saya.
.
Saya berterima kasih kepada terlalu banyak orang yang membolehkan pengajian ini ditamatkan – kepada isteri, ibu, anak dan mertua saya.
.
Terima kasih kepada penyelia-penyelia saya iaitu Profesor Madya Dr Mahenderan Appukutty dan Profesor Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin atas semua panduan dan sokongan.
.
Terima kasih saya juga kepada Ketua Jabatan saya, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab dan rakan-rakan sekerja yang memahami dan memberikan galakan.
.
Juga kepada orang-orang tertentu yang saya temui yang membantu saya dari segi statistik, nasihat dalam menulis tesis dan kerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan bukan sahaja dari UiTM tetapi dari kolaborasi dari penyelidik dan pakar yang baik dari Institut Penerbangan Perubatan TUDM, USIM dan Kementerian Kesihatan sendiri.
.
Terutamanya, syukur saya kepada kepada Allah swt kerana saya rasa, semua ranjau dan kepayahan dalam usaha ini sentiasa diberikan jalan penyelesaian yang seakan ‘magikal’.
.
Kerapkali saya rasakan yang Tuhan terlalu baik kepada saya kerana pada setiap jalan buntu, ada pintu kecil yang tiba-tiba terbuka. Doa dalam tahajud saya dijawab oleh-Nya.
.
Sebenarnya GOT atau tidak GOT, yang penting adalah menamatkan pengajian, tidak kira berapa lamapun. Ianya lebih kepada pertandingan dengan diri sendiri dan bukan dengan orang lain.
.
Semua orang ada cabaran tersendiri dan GOT hanya boleh dicuba tetapi tidak dapat dipastikan. Dalam hal saya, saya bernasib baik kerana kebetulan mesyuarat senat ditunda ke tarikh yang menyempatkan saya membuat semua proses pembetulan.
.
Yang penting adalah cuba. Tak dapat, sekurang-kurangnya ada pengalaman mencuba yang mendewasakan.
.
Tanpa kuasa dan izin Tuhan, saya tidak mungkin selesai di sini. Terima kasih atas doa ibu dan isteri terutamanya.
.
Buku ‘Krisis’
Yang agak istimewa bagi saya dalam menyelesaikan pengajian PhD ini adalah saya juga dapat menerbitkan sebuah buku yang merupakan koleksi kisah benar pengalaman saya menyelesaikan situasi ‘krisis’.
.
Pada suatu masa, saya berjumpa dengan Pengarah Penerbit UiTM, Profesor Norzaidi kerana mahukan pendapat beliau atas draf tesis yang saya tulis. Selesai mendapatkan komen beliau, dia terus menawarkan kepada saya untuk menerbitkan buku.
.
Dipendekkan cerita, buku saya dengan tajuk ‘Krisis : setiap degup jantung ada cerita’ diterbitkan oleh Penerbit UiTM dan dipasarkan di Kedai Buku UiTM dan Shopee. Ia menambahkan warna dalam perjalanan PhD saya. Dalam buku ini juga ada kisah saya menjadi doktor ekspedisi di Gunung Everest yang merupakan titik tolak bagi saya menjalankan penyelidikan PhD.
.
Saya juga merasakan bahawa pengalaman menyelesaikan krisis-krisis sepanjang kerjaya saya seperti yang diceritakan dalam buku ini membantu saya dalam menyelesaikan setiap ‘krisis’ dalam pengajian PhD saya dengan tenang dan matang.
.
Menyempurnakan Ketidaksempurnaan
Saya masih perlu mengingatkan diri saya yang bukti PhD terletak di atas sekeping kertas. Bukti pendidikan terletak di atas peribadi saya.
.
Mendapat PhD tidak sama dengan kejayaan dalam hidup. Ia cuma satu episod hidup dengan sedikit penemuan baru dalam kajian untuk disumbangkan. Kita mengetahui lebih sedikit tetapi terlalu banyak yang masih kita tidak ketahui.
.
Saya masih ada tanggungjawab lain yang lebih besar. Ada keluarga yang perlu diurus. Ada amanah kerja yang perlu disempurnakan. Ada program lain yang belum saya selesaikan. Malah ada kegagalan peribadi dalam aturan lain yang masih perlu saya betulkan.
.
Apapun, kita harus terus berusaha walaupun menemui banyak kegagalan dalam perjalanan. Setiap kegagalan memberikan lampu baru yang menyuluh jalan ke hadapan. Jalan saya di hadapan sebenarnya baru sahaja bermula.
.
Kemanusiaan dan PhD
.
PhD mengajar saya bukan hanya dalam konteks penyelidikan saintifik. Ia juga mengajar saya tentang kemanusiaan, tentang kesabaran dan rendah diri.
.
Di atas pentas akademik, tidak kira apapun status, kita tetap sama dan setara dengan semua. Yang membezakan adalah sabar dan usaha yang tidak putus dalam mencari jalan keluar bagi setiap masalah yang muncul.
.
Dunia ini tidak sempurna. Terdapat banyak jurang yang memisahkan kesempurnaan. Tugas kita adalah untuk menjambatankan semua ketidaksempurnaan itu dan harapnya, ia memberikan manfaat kepada masyarakat dan dunia.
.
Nota :
.
1. Alhamdulillah, selain tamat PhD, kedua-dua pengajian Fellowship juga dapat diselesaikan walaupun laluannya agak mencabar.
.
2. Isteri saya juga sihat dan kini bekerja seperti biasa sebagai pakar ortodontik. Hingga kini punca datangnya kuman fungus ini masih suatu misteri.Terlalu banyak yang Tuhan berikan dan kami amat bersyukur atas semuanya.
.
3. Setiap ringgit dari bayaran tugas ‘oncall’ untuk Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim saya habiskan sepenuhnya dalam program pengajian saya seperti yang saya niatkan. Semoga keberkatannya kembali kepada Almarhum. Alfatihah.
.
4. Kira-kira sebulan lalu, saya berjumpa dengan Pakar Optalmologi untuk berbincang tentang transplan kornea untuk mata kiri saya tetapi dimaklumkan ada kanta lekap teknologi baru. Saya mencubanya dan ia memberikan keselesaan dan kualiti penglihatan yang ‘magikal’ untuk saya. Mungkin ada hikmahnya Allah berikan solusi ini setelah pengajian PhD ini saya habiskan.
.
5. Pihak Ipsis menjemput saya bersama seorang lagi pelajar UiTM yang ‘GOT’ untuk memberikan tips untuk GOT. Jika berminat, rakamannya di sini : https://www.facebook.com/740237522/posts/10157977804552523/?d=n
.
6. Ada yang bertanya bagaimana hendak mendapatkan buku ‘Krisis’. Jika berminat anda boleh mencarinya di Shopee atau menghubungi Puan Kay di 012 2065483.
.
Oleh : Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose
Phd (Sains Sukan & Rekreasi) Universiti Teknologi MARA
Leave A Comment