Assalamualaikum semua warga DSG,
Sebelum itu saya ingin meminta maaf kepada admin DSG dan warga DSG kerana menggunakan Bahasa Melayu (BM). Saya lebih selesa berkongsi dalam BM (mungkin juga rindu sangat dengan Tanah Air tercinta). Alhamdulillah thumma alhamdulillah saya selesai perjalanan PhD saya di Cranfield University, UK dalam bidang ‘Aerospace Engineering’ pengkhususan ‘Aero-gas Propulsion’ (Gas Turbine) dalam bulan Julai yang lalu (VIVA Voce). Saya salah seorang Academic Trainee UIA dibawah Biasiswa SLAB/SLAI. Perjalanan PhD saya mengambil masa 2 tahun dan 10 bulan (sampai siap Surat Senat). Saya menyiapkan thesis 2 tahun 8 bulan, sebulan selepas itu VIVA, dan kemudian pembetulan sehingga terima surat senat. Berbekalkan 4 ‘publication’ dalam ‘high-impact journal’ dan 2 kertas konferen antarabangsa telah banyak membantu saya.
.
Walaubagaimanapun, ini BUKANLAH bermakna kita cerdik atau pandai. Setiap pelajar PhD mempunyai perjalanan masing-masing yang UNIK dan setiap pelajar haruslah menikmati saat-saat indah menjadi seorang pelajar. Perlu diakui juga, perjalan PhD ini bergantung kepada REZEKI dan ‘LUCK’ masing-masing. Jangan pernah rasa malu atau rendah diri jika PhD anda mengambil masa yang lama. Nikmatilah saat-saat indah membuat penyelidikan. PhD juga bukanlah seperti suasana ijazah sarjana muda kita, dimana ada persoalan ‘right’ atau ‘wrong’ dalam setiap jawapan dalam kertas soalan anda. Ianya perjalanan dan penilaian oleh penyelia dan pemeriksa yang sama-sama manusia.
.
1. Persiapan awal dan rapi sebelum memulakan pengembaraan PhD anda.
Saya ‘apply’ lebih kurang 35 buah university seluruh dunia. Sehinggalah tapisan dan saringan (oleh Department, UIA, dan KPT) yang ketat dilakukan dan hanya 5 buah university sampai peringkat akhir iaitu ‘conditional offer letter’ diterima. Kenapa 5 buah university? Ianya adalah Plan A, B, C, D & E. Bukan senang menghadapinya kerana kita dibawah biasiswa dan hanya university pilihan sahaja yang dipilih mereka. 3 university yang akhir, saya membuat risikan yang lebih rapi lagi. PASTIKAN, ‘potential’ penyelia anda mempunyai kriteria-kriteria (yang saya rasa penting) seperti berapa ramai pelajar Masters/PhD nya yang pernah beliau menyelia, kadar kelulusan, ‘publication’ beliau, geran yang beliau pegang, ‘expectation/inclination’ beliau pada jantina, umur, keluarga, mahupun agama (terutama mereka yang belajar di luar negara). Ini adalah penting seperti memilih jodoh tapi berkontrak. Untuk menyelami lebih dalam lagi ‘potential’ penyelia tersebut, cuba merisik bekas-bekas pelajar beliau. Ini melalui ‘publication’ beliau. Saya juga mengakui kita mempunyai citarasa dan tajuk penyelidikan kita sendiri. Namun begitu, saya nasihatkan simpan dahulu citarasa itu dan ambil tajuk penyelia itu cadangkan asalkan ada kena mengena sedikit dengan citarasa kita. Pendek kata, kita minta bantuan orang untuk menyelia kita, kita beralahlah sikit-sikit. Jika sambung diluar negara, kenal pasti mereka yang belajar dan menetap disitu dari sudut menyewa rumah, kesihatan, pendidikan anak-anak, suasana tempat belajar, kos sara hidup, lesen kenderaan, pekerjaan sambilan, VISA ‘dependent’ dan sebagainya. Kita nak berhijrah, perlu persediaan yang sangat rapi. Lagi cepat kita ‘settled down’ lagi mudah kita belajar in sha Allah.
.
2. Sikap-sikap yang positif
• Berlapang dada: Terima segala bentuk ujian, cabaran baru, dan dugaan dengan hati yang terbuka. Jangan kita membanding-bandingkan apa yang orang lain perolehi dengan apa yang kita dapat terutamanya membandingkan sikap penyelia kita. Ini adalah kerana, kita yang memilih penyelia tersebut, maka hadapilah apa jua kerenahnya. Tuhan akan menguji kita kerana Dia tahu kita mampu in sha Allah. Ingat, ilmu itu cahaya, hanya hati yang bersih ilmu boleh memasukinya.
• Berani: Beranikanlah diri untuk menulis dan hantar ke jurnal-jurnal. Tiada salahnya jika jurnal anda ditolak dan bangkit balik untuk cuba baiki lagi. Lagi banyak kita menulis lebih mudah kita menyiapkan thesis kelak.
• ‘Be fair on every judgement’: Setiap argumen yang kita tulis dalam thesis perlulah lebih diplomatik dalam erti kata jangan kita berlebih-lebih dan buat ‘generalization’. Jika sekadar sebahagian dapatan, kita letak sebahagiannya sahaja tanpa menyebut keseluruhannya.
• Banyakkan menghulurkan bantuan: Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerimanya. Ini bukanlah sekadar wang ringgit, tetapi masa dan tenaga! Kita dah cuba sehabis baik, akan tetapi, pertolongan Tuhan yang sebaik-baik pertolongan. Tolong, bantu, dan mudahkanlah orang sekeliling supaya Tuhan bantu memudahkan kita kelak.
• Mendisiplinkan masa: Bahagikanlah masa anda sewajarnya. Saya memperuntukkan dari jam 8.30pg-15.30ptg di perpustakaan setiap hari untuk menyiapkan penulisan saya. Lain dari masa tersebut, habiskanlah masa dengan keluarga dan anak-anak. Mereka juga berhak untuk diberikan layanan yang sewajarnya. Bawalah mereka berjalan-jalan agar terpancar senyuman di wajah-wajah mereka. Keluarga gembira, hati kita senang untuk belajar.
• Sentiasa ‘ahead of schedule’: Jangan lengah-lengah untuk menyiapkan sesuatu. Kita tidak tahu apa akan jadi masa hadapan, mungkin kita jatuh sakit, keluarga kita sakit dan lain-lain perkara yang tak diingini.
• Memaafkan dan mendoakan orang lain: Ini amatlah penting supaya jiwa kita lapang dan mampu menyerap apa jua dugaan.
• SMART: Tidak semua orang memiliki ini. Ianya suatu ‘skill’ yang perlu diasah. Kenali diri anda betul-betul pada masa bilakah anda lebih produktif melakukan kerja dan membaca. Bagaimanakah cara anda belajar? Bagaimanakah anda mudah tangkap? Bagaimanakah anda menulis ‘literature review’ dengan mudah? Bagaimanakah anda ‘tackle novelty’? Bagaimanakah anda membaca jurnal dengan lebih cepat? Ya, anda boleh perolehi segala bentuk teor-teori ini dalam buku dan internet, tapi anda lebih kenal diri anda sendiri.
.
3. Pertolongan Tuhan
Dalam kita menelusuri perjalan PhD, ‘support system’ anda sangat memainkan peranan. Keluarga, jiran tetangga, dan rakan-rakan haruslah saling memberikan sokongan. Saya amat bersyukur, nenek dan kedua ibubapa saya setiap hari tidak pernah tinggal tahajjud dan solat hajat untuk anak-anak mereka. Walaupun itu diluar kemampuan kita, kita cuba perlahan-lahan untuk beristiqamah melakukan amalan-amalan kecil tapi memberikan impak. Contohnya, mengamalkan doa-doa pada waktu mustajab untuk berdoa (antara dua khutbah, antara azan dan iqamah, dan sebagainya), solat dhuha dan juga solat hajat. Setiap doanya itu, haruslah lebih spesifik pada apa yang kita hajati, in sha Allah. Seperti yang saya sebutkan diatas, tolong dan mudahkanlah manusia lain, ianya umpama magnet untuk menarik pertolongan Tuhan.
.
Itu sahaja sedikit perkongsian dari saya. Best of luck on your studies, research, and please enjoy every moment of your studies!!! In sha Allah.
.
Terima kasih DSG kerana banyak memberikan input-input yang berguna selama ini.
.
Sekian.
.
Hanafi Azami, PhD.
Good Effort, pengalaman itu boleh dikongsikan bersama.