
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk kawan-kawan semua, izinkan saya kongsi satu perjalanan ilmu yang menginsafkan. Perjalanan ilmiah penuh liku, demi menggenggam tiga huruf paling mahal dalam aksara: P, H dan D pada 9 tahun yang silam.
.
Tajuk kajian saya ialah TEXTUAL, SYNTACTIC, and SEMANTIC ANALYSIS of QURANIC PARABLES. Linguistik al-Quran: semestinya ia menjurus kepada bidang kajian mengenai gaya bahasa al-Quran.
.
Datanya mencakupi hampir semua cerita dan perumpamaan yang saya garap dari keseluruhan al-Quran. Analisis mencakupi kajian teks, kajian sintaksis dan kajian semantik makna. Tesis ini juga mempersembahkan teori-teori linguistik barat, yang diadun dengan pemikiran kritikal Edward De Bono, dengan sokongan Indeks al-Quran, terjemahan al-Quran pengkaji barat, lebih dari 12 kitab tafsir al-Quran muktabar seperti Tafsir Ibnu Kathir dan lain-lain. Juga mengambil kira idea2 cendekiawan Muslim dan bukan Muslim yang diseimbangkan dalam perbincangan ilmiah berasaskan plot sastera.
.
Bagaimana saya ‘terjebak’ untuk mendalami bidang bahasa al-Quran ini? Terus terang saya katakan, bidang kajian al-Quran BUKAN lah bidang asal saya. Apalagi, saya memilih untuk menulis tesisnya di dalam bahasa Inggeris, sedangkan bidang utama saya ialah bahasa Arab.
Saya memilih tajuk kajian ini kerana sangat mengkagumi ilmu bakal penyelia saya, Dr. Hussein Abdur-Raof, seorang pensyarah bangsa Arab yang menetap di United Kingdom sejak puluhan tahun. Lantaran itu, saya bersedia belajar dari asas tentang tajuk kajian yang bakal saya kaji, semata-mata nak duduk bawah seliaan beliau.
.
Cabaran pertama bermula di saat saya menulis email kepada beliau. Pada awalnya beliau menolak untuk menjadi penyelia saya kerana kuota pelajar seliaan beliau sudah melimpah. Tetapi selepas beberapa ketika, Dr. Raof menghubungi saya semula melalui email dan menukar keputusan, saya diterima sebagai pelajarnya.
.
Cabaran seterusnya ialah, saya sedang mengandung anak ke-3 semasa tarikh nak berlepas ke Leeds, UK. Masih saya ingat, kandungan saya sudah mencecah 32 minggu ketika itu. Bila-bila masa boleh bersalin di udara. Cekalnya hati untuk terbang bersama suami, anak sulung berusia 4 tahun ketika itu, dan anak yang ke-2 berusia 2 tahun. Cabaran lagi, anak yang ke-2 demam sehari sebelum terbang ke United Kingdom. Saya melahirkan anak ke-3 lebih kurang sebulan selepas sampai. Maka, status saya ketika itu adalah calon pelajar P.h.D yang mengembara dengan suami dan 3 anak kecil. Sangat mencabar kesabaran!
.
Saya perlu bijak membahagikan masa untuk semua orang keliling, sehingga saya mengorbankan masa tidur saya, masa rehat saya, demi menyiapkan target yang ditentukan oleh penyelia. Bersyukur saya dikurniakan penyelia yang sangat memahami. Walaupun beliau tegas, tetapi hikmahnya cara beliau membimbing saya menyebabkan saya berusaha sebaiknya untuk hasil yang tidak mengecewakan.
.
Perpustakaan adalah rumah kedua saya, selepas membahagi masa dengan sebaiknya untuk tugasan rumahtangga dan urusan belajar. Saya memasak 3-5 kali sehari untuk keluarga. Maka, bayangkanlah apa yang perlu saya lalui untuk menjadi bionic woman di dalam segala perkara.
.
Cabaran seterusnya, saya mengandung lagi anak ke-4, dan melahirkan anak perempuan pada Julai 2011, 2 bulan sebelum tarikh saya viva phd. Sebelum melahirkan, saya tak akan lupa bagaimana saya mengusung perut besar itu dengan mengelek beberapa naskhah tesis. Saya tekad, semua naskhah tesis yang dah siap itu MESTI saya hantar ke setiausaha fakulti untuk semakan Pemeriksa Luar dan Pemeriksa Dalam sebelum bersalin.
.
Beberapa hari selepas itu,saya bersalin anak ke-4 dengan jayanya.
.
Siapa yang buat Phd tiada masalah, memang ajaib. Saya juga tersekat dalam bab pertama lagi. Tetapi, kata-kata penyelia yang letakkan ‘pressure’ kepada saya menyebabkan saya tidak mahu mengalah. Saya sentiasa ingat kata-kata Dr Raof di hari pertama saya bertemu dengan beliau: If you keep continue doing like this, you are not going to succeed.
.
Kenapa beliau berkata begitu?
.
Saya dengan kandungan anak ke 3, 8 bulan dalam kandungan, dah mula2 sakit contraction bersalin. Sebab nak jumpa penyelia, saya hanya menyediakan sedikit proposal ringkas tentang tajuk cadangan tesis saya. Sebenarnya, saya lupa bagitahu: tajuk proposal tesis saya sebelum berlepas ke United Kingdom sudah ditolak atas faktor tidak memberi impak kepada sumbangan ilmiah. Jadi, saya berlepas dengan kosong proposal. Saya terpaksa membuat proposal baharu, tajuk kajian baharu yang perlu saya fikirkan.
.
Bila saya dengar kata-kata “you are not going to succeed” tu, saya mula bertekad. Saya tidak akan, dan tidak mahu balik awal ke tanahair sebelum menggenggam cita-cita. Pernah bergelumang dengan tesis hampir 10 jam sehari. Korbankan masa rehat dan tidur untuk hasil terbaik. Pernah menangis di malam hari sebab draf tesis yang ditaip untuk dihantar kepada penyelia keesokan harinya, tiba-tiba ‘hilang’ dari simpanan data laptop. Tidur dalam linangan airmata Ketika itu.
.
Pelajar ‘Mat Saleh’ yang biasa pergi ke perpustakaan akan kenal saya. Tiada pelajar phd orang Asia yang mengandung, yang akan duduk bersila atas lantai, mengadap rak-rak buku: sayalah itu. Satu-satunya. Mereka pernah menghampiri dan bertanya: Love, are u ok? Mana ada pelajar duduk bersila kat lantai. Sarat pulat tu !!
.
Hasilnya, semasa keputusan viva diumumkan, jika tidak disebabkan oleh kesilapan ejaan pada perkataan “Quranic”, dan sedikit pemotongan perenggan, saya akan lulus TANPA PEMBETULAN. Tapi, dapat MINOR CORRECTION pun bersyukurlah juga.
.
Cara saya menghadapi saat kebuntuan idea?
.
1. Jangan paksa otak anda. Bagi diri sendiri masa untuk bergembira. Apa saya buat? Saya pergi Window Shopping. It’s free ! Mengembara ke sekitar United Kingdom, Camp-site, Caravaning…
.
2. Kalau sangkut juga, saya tinggalkan penulisan tesis selama beberapa hari. Seminggu contohnya. Bagi idea masam turun ke dasar otak. Nanti bila tengok tesis semula, biasanya saya sedar silap penulisan sebelum ini di mana.
.
3. Sebagai seorang Muslim, saya serahkan diri kepada yang Maha Pencipta, melazimi solat-solat sunat, melazimi al-Quran memang semestinya kerana al-Quran ialah bidang kajian saya. Pernah saya mohon di dalam doa-doa saya, supaya Allah tunjukkan jalan keluar, anugerahkan saya idea bernas.
.
Anda tidak akan percaya jika saya katakan, saya mendapat ilham dari solat-solat hajat itu. Bangun keesokan hari dengan ilham, pergi ke perpustakaan dan mengutip buku rujukan dari rak-rak buku mengikut gerak hati. Saya balik baca, buat rumusan dan bina Theoritical Framework nya.
.
Dr. Raof menghubungi saya sebaik mendapat kiriman bab tesis. Soalan pertama beliau: Tell me the truth about this work. Is it really yours? Did you write it genuinely? If it’s not yours, you are in big problem. But if this is really your work, then I can say that this is a new contribution to the Quranic linguistic….blablabla..
.
Huhu.. satu perjalanan yang menyuntik anjakan paradigma.
.
Akhirnya saya bergraduat pada November 2011 dengan sangat bergaya: diapit oleh suami, 4 anak kecil berusia 7 tahun, 5 tahun, 3 tahun dan baby 5 bulan. O yes !!
.
Saya doakan bagi kawan-kawan yang masih berjuang, jangan cepat mengalah sebelum sampai ke penamatnya. Telan segala kepahitan kerana di penghujungnya manis menanti. Selagi tak rasa manisnya, telan semua. Meskipun perjalanan ilmu kita tidak semua sama, tetapi percayalah. Manisnya perjuangan hanya dapat dikecapi jika kita terus melangkah dan melangkah…
.
Untuk kawan-kawan yang mahu baca tesis itu, tunggu awal tahun 2021, saya telah bukukan tesis saya dan bakal diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekarang dalam proses pemurnian cetakan akhir. Doakan cepat terbit ya.
.
.
Dr. Suzana Sulaiman
Alfu Mubaarak Dr Na… Anda Terbaik & Hebat bersama doa anak2 & suami
Kak Na kuat semangat, kemahuan yang jitu dan ramak dengan kejayaan. Tabik Kak Na!
*tamak dengan kejayaan
Sifat tamak dengan kejayaan ialah pemacu yang terpenting utk capai matlamat. Sayangnya, sifat tamak yang positif ini bukan semua orang sanggup.